PalestinSemasa

Memusnahkan Gaza Adalah Matlamat Netanyahu Sejak Hari Pertama – Penganalisis

Penganalisis politik Timur Tengah, Muhammad Shehada mendakwa kemarahan terkini pemimpin Barat terhadap kekejaman Israel di Gaza bukanlah berpunca daripada kesedaran moral, sebaliknya kerana tekanan politik, desakan rakyat, dan usaha mengawal kerosakan imej.

Menurutnya, sejak awal lagi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah menetapkan strategi menjadikan Gaza tidak boleh didiami melalui serangan besar-besaran, kebuluran, dan pemusnahan menyeluruh.

“Israel menghapuskan Gaza secara sistematik. Apabila perang tamat, penduduk tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan tanah mereka,” katanya dalam penulisan di TRT World.

Beliau turut mendedahkan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) sendiri sedar akan agenda tersebut sejak awal, namun hanya memberi reaksi lemah. “Kami beri makanan dan pembalut pada siang hari, tetapi pada masa sama beri bom kepada Israel pada malam hari,” katanya memetik seorang pegawai EU.

Katanya, walaupun lebih 90 peratus kanak-kanak Gaza mengalami trauma akibat perang, Barat tetap menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin. Malah, kritikan terhadap Israel hanya meningkat selepas imej kanak-kanak kebuluran tersebar luas dan bantahan awam di Eropah semakin besar.

Tambahnya, kenyataan keras Eropah terhadap Israel pada Mei dan Julai lalu lebih bersifat manuver politik, bukan tindakan konkrit untuk menghentikan kekejaman. Walaupun Jerman dan Kanada mengumumkan sekatan penghantaran senjata, laporan mendedahkan bekalan ketenteraan masih sampai ke Tel Aviv.

“Gerak isyarat Barat bukanlah keberanian untuk menamatkan genosid, sebaliknya langkah PR untuk melindungi status quo. Bagi mereka, penderitaan Palestin hanyalah krisis yang perlu diurus, bukan kecemasan moral yang mesti dihentikan,” katanya.

— Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button