PolitikSemasa

Menteri Agama Kesal Doa Disalahgunakan untuk Kepentingan Politik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, meluahkan kekesalan terhadap tindakan seorang ahli politik yang menyalahgunakan doa sebagai senjata rohaniah ummah semasa perhimpunan awam di ibu negara baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa kandungan doa yang dibacakan bukan sahaja mengandungi tuduhan tidak berasas terhadap kepemimpinan negara, tetapi juga berpotensi memecahbelahkan umat Islam.

“Doa tersebut amat membimbangkan kerana boleh mendorong ekstremisme dan radikalisme dalam masyarakat,” kata Mohd Na’im dalam kenyataan di media sosial. Beliau menyeru masyarakat agar berwaspada terhadap pihak yang tidak menghormati kedudukan doa menurut syariat Islam dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) turut menyuarakan kebimbangan terhadap insiden semasa perhimpunan tersebut. Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, mengkritik tindakan membaca Qunut Nazilah yang menyasarkan pemimpin negara, menyebarkan tuduhan liwat tanpa bukti, dan mempamerkan patung simbolik pemimpin yang disebat, yang disifatkan sebagai melanggar adab dan akhlak Islam.

“Doa adalah ibadah agung yang perlu dilakukan dengan hikmah dan ikhlas, bebas daripada pengaruh emosi atau kepentingan politik,” katanya. Beliau menambah, tuduhan liwat tanpa empat saksi lelaki adil merupakan jenayah qazaf yang dilarang dalam Islam, manakala perbuatan menghina maruah peribadi melalui simbolik jelas mencemari nilai kesopanan masyarakat Malaysia.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button