
Meta Platforms bakal menamatkan perkhidmatan kira-kira 600 pekerja di bahagian kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat proses membuat keputusan dan memperkemas operasi syarikat.
Menurut laporan Agensi Berita Jerman dpa, Ketua Pegawai AI Meta, Alexandr Wang, mengumumkan langkah tersebut melalui satu memo dalaman yang disahkan oleh jurucakap syarikat. Wang, yang menyertai Meta pada Jun lalu selepas pelaburan bernilai AS$14.3 bilion dalam Scale AI, berkata pemberhentian itu bertujuan menjadikan pasukan AI lebih tangkas dan berkesan.
Makmal TBD yang baru ditubuhkan tidak terjejas, namun pemberhentian akan melibatkan kakitangan di bahagian infrastruktur AI, Penyelidikan Asas AI (Fundamental Artificial Intelligence Research) dan unit berfokuskan produk. Pekerja di Amerika Syarikat dimaklumkan bahawa tarikh penamatan perkhidmatan mereka ditetapkan pada 21 November.
Sebagai sebahagian daripada pakej pampasan, Meta menawarkan bayaran gaji selama 16 minggu dan tambahan dua minggu bagi setiap tahun tempoh perkhidmatan. Pekerja yang terlibat juga digalakkan memohon semula jawatan lain dalam syarikat itu.
Menurut laporan dalaman, Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg dilaporkan tidak berpuas hati dengan kemajuan perlahan pembangunan AI di Meta, khususnya selepas tindak balas bercampur terhadap model Llama 4. Penstrukturan semula ini dijangka dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan proses pembuatan keputusan.
Walaupun berdepan pemberhentian besar-besaran, Meta terus melabur secara agresif dalam bidang AI, termasuk melalui perjanjian bernilai AS$27 bilion dengan Blue Owl Capital bagi membiayai pembinaan pusat data Hyperion di Louisiana.
Sumber: Bernama-dpa







