PalestinSemasa

MISI FLOTILA GAZA: Malaysia Kerjasama Dengan Negara Sahabat Usahakan Pembebasan Segera Aktivis GSF

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau kini sedang bekerjasama rapat dengan barisan pimpinan negara-negara sahabat bagi memastikan kesemua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh rejim Zionis dibebaskan dengan kadar segera.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar menegaskan pendirian tegas Malaysia yang mendesak rejim itu agar tidak memberikan layanan buruk atau menzalimi kesemua aktivis yang terlibat.

“Malaysia menuntut agar mereka tidak dizalimi, dihalang hak kemanusiaan atau dikenakan sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan hanya kerana membawa suara keamanan dan bantuan kemanusiaan buat rakyat Palestin.

“Doakan agar segala usaha ini dipermudahkan, Insya-Allah. Hasbunallah wa ni‘mal wakil,” kata beliau dalam hantaran tersebut.

16 Rakyat Malaysia Terperangkap

Tindakan diplomatik ini diambil susulan pengesahan daripada Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) semalam bahawa sembilan buah kapal GSF telah dipintas oleh pasukan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat jam 8 malam waktu Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, mendedahkan bahawa konvoi kapal tersebut membawa seramai 16 orang warganegara Malaysia. Beliau turut memaklumkan bahawa aset-aset maritim IOF telah menghampiri kapal-kapal misi tersebut secara agresif ketika konvoi sedang belayar di kawasan perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

Misi GSF merupakan satu ikhtiar antarabangsa yang digerakkan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan yang kritikal terus kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang sedang berhadapan dengan sekatan dan serangan rejim.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button