DomestikKemanusiaanSemasa

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM serikan program Pegawai Penguatkuasa Agama JAIS

KUALA LUMPUR : Program Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) bersama masyarakat anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berlangsung dengan gilang gemilangnya semalam sempena menyambut kedatangan Maal Hijrah 1444H.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Mobile Clinic milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Pengguna dan Industri Halal, Tuan Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata matlamat utama program yang diadakan di Padang Awam Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Klang itu adalah bagi mengeratkan ukhuwah antara anggota penguatkuasa JAIS dengan masyarakat setempat.

“Pihak kami sedia maklum mengenai inisiatif Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini yang bergerak menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma.

“Jadi, di samping aktiviti-aktiviti yang kita adakan pada hari ini sempena Awal Muharam ini,  kami bawakan khas mobile clinic ini ke program PPA ini kerana kesihatan masyarakat juga adalah menjadi keutamaan kami selain merapatkan hubungan silaturahim,” katanya ketika ditemubual UMMAHToday.

Sejarah juga tercipta di mana jumlah pengunjung yang hadir bagi merebut peluang  mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma ini mencecah 70 orang pesakit dalam tempoh tidak sampai sehari, antara paling ramai setakat ini sepanjang pelaksanaan inisiatif tersebut.

Ini membuktikan mobile clinic MAIWP-MAPIM mendapat sambutan daripada orang ramai kerana ia dapat memudahkan mereka yang mengalami kesukaran untuk hadir ke klinik.

Dalam program ini juga turut diserikan dengan acara-acara menarik seperti larian hijrah, pertandingan memasak, mewarna bagi kanak kanak dan juga penampilan khas penyanyi, Ijam Medicine yang turut membuat persembahan.

Related Articles

Back to top button