DomestikSemasa

Murid Maut Terjatuh Lubang Kumbahan: Polis Ambil Keterangan Sembilan Individu

Polis telah mengambil keterangan sembilan individu setakat ini berhubung tragedi seorang murid sekolah rendah yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, dua hari lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, mereka yang dirakam keterangan termasuk pengadu kes, guru serta pelajar sekolah terbabit.

“Kita juga akan merakam empat lagi keterangan hari ini melibatkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Pada Sabtu lalu, murid Tahun Tiga Abdul Fatah Khairol Rizal meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semalam menegaskan kementeriannya mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi tersebut.

Beliau berkata laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut, sekali gus memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button