
Beberapa negara Arab mengecam keras kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang menyatakan komitmen terhadap visi “Israel Raya”, dengan menyifatkannya sebagai ancaman kepada kedaulatan negara dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Dalam wawancara bersama saluran i24 pada Selasa, Netanyahu berkata beliau berasa “sangat terikat” dengan visi tersebut, menggambarkannya sebagai “misi bersejarah dan rohani” yang mewakili impian generasi Yahudi terdahulu dan akan datang.
Istilah “Israel Raya” dalam politik Israel merujuk kepada rancangan peluasan wilayah yang meliputi Tebing Barat yang diduduki, Gaza, Bukit Golan milik Syria, Semenanjung Sinai di Mesir, serta sebahagian wilayah Jordan.
Kementerian Luar Jordan menyifatkan kenyataan Netanyahu sebagai “peningkatan berbahaya dan provokatif” yang mengancam kedaulatan negara dan melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jordan menegaskan dakwaan tersebut tidak akan menjejaskan hak sah rakyat Palestin, malah berpotensi mencetuskan kitaran baharu keganasan dan konflik di Gaza serta Tebing Barat.
Pihak Berkuasa Palestin pula menyifatkan kenyataan itu sebagai bukti sikap tidak menghiraukan hak rakyat Palestin, sambil mengulangi pendirian menuntut pembentukan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Kementerian Luar Qatar menuduh Netanyahu mengamalkan “pendekatan pendudukan berasaskan keangkuhan” yang menyemarakkan krisis serantau dan secara terang-terangan melanggar kedaulatan negara lain.
Arab Saudi turut menolak “idea dan projek ekspansionis” Israel, menegaskan hak sejarah dan undang-undang rakyat Palestin untuk memiliki negara berdaulat di tanah mereka. Liga Arab pula memberi amaran bahawa kecenderungan agresif Israel itu mengancam keselamatan kolektif negara-negara Arab.
Sejak Oktober 2023, Israel melancarkan serangan besar-besaran di Gaza yang telah meragut nyawa lebih 61,700 rakyat Palestin, hampir separuh daripadanya wanita dan kanak-kanak. Netanyahu kini berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, selain kes pembunuhan beramai-ramai yang sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
— Sumber: TRT World & Agensi