Negara perlukan seorang pemikir, pejuang & pemimpin berjiwa seni yang tidak rapuh – Arwah Mat London
Presiden FDAM 'Mat London' meninggal dunia di usia 74 tahun
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada kira-kira 5:57 pagi tadi.
Mengesahkan perkara tersebut, anaknya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun, akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun.
Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.
Salmany berkata Allahyarham merupakan seorang bapa yang penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anak-anak duduk berasingan.
“Saya duduk paling dekat dengan arwah, jadi kalau arwah tiada apa-apa aktiviti kami akan pergi minum bersama Arwah seorang bapa yang penyayang”, katanya.
Salmany Akir berkata Allahyarham seorang seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, beliau berjuang untuk memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya.
Januari 2023 lalu, Allahyarham pernah menyuarakan pendapat bahawa industri seni di negara ini sebenarnya mempunyai ramai bakat berpotensi, namun mereka tidak mempunyai peluang yang sewajarnya.
“Misalnya, graduan lepasan sekolah perfileman, pemain-pemain muda kreatif dan seumpamanya tidak mempunyai tempat untuk bersandar. Ini kerana dana dan galakan tak pernah dibina, jadi mereka semua terpinggir begitu saja. Negara perlukan seorang pemikir, pejuang dan pemimpin berjiwa seni yang tidak rapuh dan goyah”, pesan Arwah Dr Ahmad Ibrahim (Mat London).