PalestinSemasa

Netanyahu Tolak Gencatan Senjata dan Pengunduran Tentera di Gaza Bawah Rancangan Trump

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan menolak sebarang bentuk gencatan senjata mahupun pengunduran tentera dari Genting Gaza di bawah pelan tindakan baharu yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut laporan akhbar harian Israel Hayom yang memetik sumber tempatan, pendirian tegas itu disampaikan sendiri oleh Netanyahu kepada utusan khas Lembaga Keamanan (Board of Peace), Nickolay Mladenov, dalam satu pertemuan. Netanyahu menegaskan bahawa Israel tidak akan menghentikan pencerobohan ketenteraan atau berundur dari kawasan yang kini berada di bawah kawalan mereka.

Beliau mendakwa tindakan tersebut perlu menerusi alasan bahawa kumpulan Hamas masih berusaha membina semula keupayaan ketenteraan yang berpotensi memberi ancaman kepada keselamatan Israel. Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara Israel turut menyampaikan bantahan dan keraguan Netanyahu berhubung syarat-syarat dalam pelan tindakan gencatan senjata berkenaan kepada pihak Lembaga Keamanan dan pentadbiran AS.

Perkembangan ini berlaku selepas Lembaga Keamanan mengeluarkan draf perjanjian mengenai mekanisme pelaksanaan fasa seterusnya bagi rancangan Gaza. Susulan pengumuman draf tersebut, juruprcakap Hamas menyatakan pihaknya kini menunggu jawapan rasmi dan jelas daripada Mladenov serta pihak pengantara berhubung persefahaman fasa kedua perjanjian gencatan senjata.

Dalam pada itu, penyiar awam Israel, KAN, melaporkan bahawa pihak tentera Israel telah menetapkan tiga syarat utama berhubung rangka kerja pelan berkenaan, iaitu:

  • Menuntut kebebasan bertindak sepenuhnya bagi menghapuskan sebarang ancaman di Gaza.

  • Memastikan kawalan penuh ke atas pemilikan senjata di wilayah tersebut.

  • Menolak sebarang pengunduran tentera secara beransur-ansur selagi Hamas tidak dilucutkan senjata secara menyeluruh.

Syarat-syarat ketenteraan ini dijangka dibentangkan kepada kepimpinan politik Israel untuk keputusan lanjut.

Sejak konflik bersenjata tercetus pada Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel telah mengorbankan lebih 73,000 nyawa dan mencederakan melebihi 174,000 rakyat Palestin. Walaupun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengesahkan bahawa serangan berterusan oleh pihak Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 1,250 lagi kematian dan 4,110 kecederaan baharu.

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button