
Operasi penangkapan anjing liar yang dijalankan di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan peralatan loop mengikut piawaian kementerian semasa operasi yang dijalankan pada malam kejadian.
Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan berlaku tindakan memukul anjing berkenaan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan rasmi.
“Saya tidak dapat memberikan komen berhubung dakwaan anjing dipukul kerana ia bergantung kepada laporan siasatan polis,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Operasi Dilaksana Susulan Aduan Mangsa Cedera
Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, Abd Hamid menjelaskan bahawa tindakan tangkapan diambil ekoran kekerapan aduan daripada penduduk tempatan dan pelajar yang mendakwa sering diganggu serta dikejar haiwan liar berkenaan.
Malah, terdapat insiden membabitkan mangsa yang mengalami kecederaan kritikal akibat diserang, sekali gus memaksa MBDK mengadakan operasi bersepadu bersama komuniti penduduk di kawasan terbabit.
Terkait isu kecederaan pada haiwan berkenaan, beliau memaklumkan ia dipercayai berlaku akibat pergelutan semasa perebutan antara petugas dengan seorang wanita yang memberikan kenyataan bercanggah mengenai status pemilikan anjing tersebut.
“Kalau ikut kenyataan awalnya, dia kata anjing tersebut miliknya, tetapi akhirnya dia kata bukan pula. Jadi kita pun tidak pasti. Oleh kerana perkara ini melibatkan siasatan polis, kita minta pihak berkuasa menjalankan siasatan dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil berpandukan hasil siasatan tersebut,” tambah beliau.
Kekangan Anggota Dan Purata 50 Aduan Sebulan
MBDK turut mengesahkan bahawa notis pemberitahuan berhubung operasi tangkapan anjing liar berkenaan telah pun dimaklumkan kepada penduduk taman terbabit sebelum tindakan dijalankan.
Dalam pada itu, Abd Hamid mendedahkan pihak MBDK kini berdepan kekangan sumber manusia dan kesukaran mendapatkan perkhidmatan syarikat swasta bagi membantu melancarkan operasi penangkapan.
Cabaran tersebut disifatkan agak kritikal memandangkan MBDK menerima purata kira-kira 50 aduan berkaitan anjing liar pada setiap bulan, ditambah pula dengan kawasan pentadbiran Klang yang sangat luas.
Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)






