DuniaSemasa

Pakar bedah ini sanggup lari sejauh 3 kilometer demi selamatkan pesakit

NEW DELHI : Demi menyelamatkan nyawa, pakar bedah ini sanggup berlari sejauh 3 kilometer meredah kesesakan lalu lintas yang teruk ke hospital bagi melakukan pembedahan ke atas pesakitnya.

Menurut laporan India Today, Dr. Govind Nandakumar, seorang Pakar Bedah Gastroenterologi di Hospital Manipal Sarjapur,  dijadualkan melakukan pembedahan kecemasan laparoskopi pundi hempedu terhadap seorang pesakit wanita pada pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Namun, oleh sebab terkandas dalam kesesakan lalu lintas, dia membuat keputusan untuk gegas berlari ke hospital untuk melakukan pembedahan itu.

“Setiap hari, saya melakukan perjalanan Hospital Manipal di Sarjapur yang terletak di tenggara Bangalore, India.

“Pasukan saya telah bersiap sedia untuk melakukan pembedahan sebaik sahaja saya tiba di hospital malah saya pun dah keluar dari rumah pada waktu yang tepat.

“Tetapi melihatkan keadaan lalu lintas yang teruk, tanpa berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk meninggalkan kereta bersama pemandu dan berlari ke hospital,” katanya.

Kesudahannya, pembedahan tersebut berjalan dengan lancar dan pesakit berkenaan dilaporkan telah keluar dari hospital dan berada dalam keadaan baik.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button