
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, secara rasmi mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mencapai perjanjian damai kekal yang bersejarah setelah melalui siri rundingan yang intensif. Perjanjian ini merangkumi penamatan serta-merta operasi ketenteraan di semua barisan hadapan, termasuk zon konflik di Lubnan.
“Berikutan rundingan intensif, kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Perjanjian Damai antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran telah dicapai,” kata Sharif menerusi satu hantaran di akaun rasmi X beliau. Beliau turut memaklumkan bahawa majlis menandatangani perjanjian rasmi berkenaan dijadualkan berlangsung pada 19 Jun ini di Switzerland.
Dalam hantaran yang sama, Sharif menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada kepimpinan Washington dan Tehran atas kompromi diplomatik tersebut. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Qatar yang bertindak selaku pengantara utama, serta Arab Saudi dan Türkiye atas sumbangan besar mereka sepanjang proses rundingan berjalan. Sebelum majlis menandatangani itu berlangsung, barisan pengantara dijadual mengadakan beberapa siri mesyuarat minggu ini bagi memperincikan rundingan teknikal dan fasa pelaksanaan perjanjian.
Trump Sahkan Gencatan Senjata, Sekatan Tentera Laut Dimansuhkan
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump menerusi hantaran di platform Truth Social turut mengesahkan bahawa perjanjian gencatan senjata dengan Tehran kini telah dimuktamadkan sepenuhnya.
Sebagai impak langsung daripada perjanjian damai ini, Trump mengumumkan pembukaan semula laluan maritim strategik global yang sebelum ini terjejas akibat konflik.
“Saya kini memberi kebenaran sepenuhnya kepada pembukaan bebas tol Selat Hormuz, dan pada masa yang sama, memberi kebenaran kepada penyingkiran segera sekatan Tentera Laut Amerika Syarikat. Wahai kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!” kata Trump dalam hantarannya.
Sumber: TRT World & Agensi Berita







