
Ketika krisis kemanusiaan di Gaza memasuki tahun kedua dengan lebih 65,900 rakyat Palestin dilaporkan terkorban sejak Oktober 2023, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menekankan kepentingan forensik kemanusiaan bagi memastikan setiap mangsa perang dihormati dan dikenali identitinya.
Pengurus ICRC Eurasia, Elif Gunce Eskikoy, berkata pendekatan forensik yang menggabungkan sains dan belas kasihan amat penting dalam mengekalkan maruah manusia walaupun selepas mereka kehilangan nyawa.
“Maruah seseorang tidak berakhir selepas kematian. Mereka yang terkorban perlu dicari, dikenal pasti dan diuruskan dengan cara yang menghormati kepercayaan serta budaya mereka,” katanya ketika ditemui sempena Hari Perubatan Forensik Antarabangsa ke-20 di Antalya yang menghimpunkan lebih 800 peserta dari 27 negara.
Eskikoy menjelaskan, pengurusan jenazah dalam jumlah besar merupakan cabaran utama terutama di kawasan konflik. “Negara yang biasanya hanya berdepan jumlah kematian kecil akan tertekan apabila berhadapan ratusan atau ribuan korban,” jelasnya.
Beliau menekankan keperluan dokumentasi rapi, penyimpanan yang bermaruah, serta penggunaan data untuk mengenal pasti mangsa. “Data bukan hanya tentang seorang individu, tetapi ribuan rekod yang perlu diuruskan dengan teliti. Kelewatan boleh menjejaskan proses pengecaman,” katanya.
Menurut Eskikoy, kecanggihan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) mampu membantu mengurus data yang besar, membandingkan maklumat dan mempercepat proses pengecaman. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa teknologi semata-mata tidak mencukupi.
“Akhirnya, teknologi tetap bergantung kepada manusia yang mengendalikannya. Malah, jika pengecaman gagal, pengebumian secara bermaruah tetap menjadi keutamaan,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan supaya penggunaan teknologi mesti disesuaikan dengan realiti lapangan. “Tiada satu pendekatan yang sesuai untuk semua. Apa yang penting adalah penyelesaian praktikal berdasarkan keadaan setempat,” katanya.
Eskikoy menegaskan bahawa forensik kemanusiaan adalah sebahagian daripada misi utama ICRC dalam menegakkan undang-undang antarabangsa di zon konflik.
“Peperangan tidak bermakna tanpa undang-undang. Kehadiran kami di Gaza adalah untuk memastikan peraturan perang ditegakkan, termasuk hak dan maruah mereka yang terkorban,” katanya.
ICRC turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memberikan latihan, membina rangkaian komunikasi serta membantu sistem negara yang tertekan akibat pengurusan kematian besar-besaran.
– AA