PalestinSemasa

PBB Beri Amaran ‘Risiko Semakin Meluas’ Kekejaman Israel Terhadap Rakyat Palestin, Seru Tindakan Pencegahan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai risiko jenayah kekejaman yang semakin meningkat yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, sambil menggesa semua negara agar mengambil langkah pencegahan dengan segera.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata serangan, dasar serta pencabulan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin jelas menunjukkan wujudnya “risiko jenayah kekejaman selanjutnya yang semakin meluas” di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki.

“Wakil-wakil kerajaan Israel di peringkat tertinggi telah berulang kali menggariskan dasar-dasar pengilhakan, pembersihan etnik dan hukuman kolektif di Tebing Barat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

“Di seluruh lapisan masyarakat, hasutan kebencian dan pencabulan yang menjurus kepada jenayah kekejaman, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan juga genosid adalah amat mengerikan.”

Menurut Turk, pejabatnya telah berulang kali memberi amaran berhubung risiko tindakan Israel di Gaza yang mendatangkan “ancaman sebenar terhadap kelangsungan kewujudan” rakyat Palestin sebagai satu kumpulan masyarakat.

‘Semua Negara Mempunyai Kewajipan Untuk Bertindak’

Ketika ini, sebahagian besar daripada 2.1 juta penduduk Gaza terpaksa berteduh di dalam khemah atau pusat perlindungan sementara di wilayah terkepung itu, yang mana tentera Israel mendakwa mereka menguasai lebih daripada 60 peratus kawasan berkenaan.

“Saya amat bimbang mengenai sifat pencabulan yang semakin berleluasa dan sistematik yang sedang dilakukan di seluruh Tebing Barat serta Gaza,” ujar Turk.

“Amaran kami tidak diendahkan, dan jenayah kekejaman terus berulang,” tegas Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia itu.

“Orang awam terus dibunuh, dan ratusan ribu rakyat Palestin telah dipaksa berpindah, dengan pegawai-pegawai kanan Israel secara terbuka menunjukkan niat untuk menjadikan perpindahan sedemikian bersifat kekal.”

“Semua negara mempunyai kewajipan untuk bertindak sekarang bagi mencegah berlakunya jenayah kekejaman selanjutnya terhadap rakyat Palestin.

“Siasatan bebas mesti dijalankan, dan pihak yang bertanggungjawab mesti diheret ke muka pengadilan. Usaha mahkamah-mahkamah antarabangsa dalam hal ini juga wajib disokong oleh semua negara,” kata Turk.

Dalam pada itu, Turk turut mengingatkan Hamas serta kumpulan bersenjata Palestin yang lain mengenai tanggungjawab mereka di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk kewajipan melindungi orang awam serta menghormati keselamatan operasi kemanusiaan.

Sumber: AFP

Related Articles

Back to top button