PalestinSemasa

PBB Guna Istilah ‘Apartheid’ Buat Kali Pertama, Desak Israel Tamatkan Sistem Diskriminasi di Tebing Barat

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat julung kalinya menggunakan istilah “apartheid” secara rasmi menerusi Ketua Hak Asasinya, Volker Turk bagi menggambarkan penindasan sistematik Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki. Dalam satu laporan tegas yang dikeluarkan pada Rabu, Turk menyifatkan diskriminasi dan pengasingan kaum yang berlaku sebagai satu bentuk kekejaman yang menyerupai sistem apartheid yang pernah disaksikan dunia sebelum ini.

Turk mendedahkan bahawa situasi hak asasi manusia di wilayah tersebut telah merosot secara drastik dengan setiap aspek kehidupan rakyat Palestin kini dikawal ketat oleh rejim Zionis. Bermula daripada akses kepada sumber air, pendidikan, rawatan di hospital, sehinggalah kebenaran melawat keluarga atau menuai buah zaitun, semuanya disekat melalui undang-undang dan dasar diskriminasi yang berat sebelah. Laporan itu turut mengecam kewujudan dua sistem perundangan berbeza di mana peneroka haram Israel menikmati keistimewaan undang-undang sivil manakala rakyat Palestin ditekan dengan pendakwaan mahkamah tentera yang menafikan hak perbicaraan adil.

Situasi diburukkan lagi dengan peningkatan keganasan oleh peneroka haram yang sering mendapat sokongan atau penyertaan pasukan keselamatan Israel. Sejak perang genosid bermula di Gaza pada Oktober 2023, lebih 1,000 rakyat Palestin telah dibunuh di Tebing Barat. PBB turut membidas budaya “bebas daripada hukuman” yang diamalkan Israel, di mana statistik menunjukkan daripada lebih 1,500 kes pembunuhan rakyat Palestin sejak 2017, hanya 112 siasatan dibuka dan hanya satu sabitan kesalahan direkodkan.

Susulan pendedahan ini, pejabat hak asasi PBB menuntut agar Israel memansuhkan serta-merta segala undang-undang yang mendiskriminasi, membongkar semua penempatan haram, dan mengundurkan kehadiran mereka yang menyalahi undang-undang antarabangsa demi menghormati hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.

Sumber: TRT World dan Agensi

Related Articles

Back to top button