PalestinSemasa

PBB Tuntut Keadilan Atas Pembunuhan Pekerja Bantuan dan Paramedik di Gaza

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin lalu mengutuk keras pembunuhan pekerja bantuan dan paramedik di Gaza yang terbunuh ketika menjalankan tugas kemanusiaan. Antara mangsa termasuk anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), responden pertama Pertahanan Awam Gaza, dan seorang kakitangan PBB.

Tom Fletcher, ketua bantuan PBB, dalam kenyataannya di platform X menyatakan bahawa “15 pekerja kecemasan dan bantuan di Gaza – dari PRCS, Pertahanan Awam Palestin dan PBB – ditemui terbunuh bersama kenderaan mereka yang rosak tetapi masih jelas bertanda”. Beliau menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurut Jonathan Whittall, pegawai kanan hal ehhuaman OCHA di wilayah Palestin yang diduduki, mayat lapan anggota PRCS, enam anggota Pertahanan Awam dan seorang kakitangan PBB telah ditemui selepas serangan Israel kira-kira seminggu sebelumnya.

“Mereka terbunuh ketika memakai pakaian seragam, memandu kenderaan yang jelas bertanda, dan dalam perjalanan untuk menyelamatkan nyawa,” tegas Whittall.

Kejadian menyayat hati ini berlaku pada 23 Mac ketika pasukan bantuan sedang dalam perjalanan untuk memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa tembakan Israel di kawasan Al-Hashashin.

Fletcher dengan tegas menyatakan: “Mereka dibunuh oleh tentera Israel ketika cuba menyelamatkan nyawa. Kami menuntut jawapan dan keadilan.”

Serangan terbaru Israel yang bermula pada 18 Mac telah menamatkan gencatan senjata selama hampir dua bulan di Gaza. Sejak 7 Oktober 2023, lebih 50,000 penduduk Gaza telah terbunuh dalam serangan tersebut.

 

Sumber: Agensi Anadolu

Related Articles

Back to top button