SemasaSukan

Pearly-Thinaah Tamatkan ‘Badi’ Pusingan Awal, Bakal Ulangi Aksi Final Sukan SEA

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah akhirnya berjaya menamatkan “sumpahan” pusingan pertama di laman sendiri apabila melangkah gagah ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026. Pasangan pilihan kedua kejohanan itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menewaskan beregu India, Rutaparna Panda dan Swetaparna Panda dengan keputusan 21-11, 21-9.

Kemenangan ini memberikan kelegaan buat Pearly-Thinaah yang sebelum ini terkandas di pusingan pembukaan dalam tiga edisi berturut-turut. Pada pusingan seterusnya, mereka dijadualkan bertemu pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari. Pertembungan ini menarik perhatian kerana ia merupakan ulangan aksi final Sukan SEA Thailand 2025, di mana Pearly-Thinaah memenangi pingat emas tunggal skuad badminton negara.

Walaupun memiliki rekod pertemuan bersih 4-0 ke atas lawan tersebut, Pearly mengingatkan bahawa rekod lalu tidak menjamin kemenangan mudah. Beliau menegaskan kepentingan persiapan mental dan fizikal yang rapi bagi memastikan impian mereka untuk layak ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah penyertaan di kejohanan ini tercapai.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button