Waktu operasi pejabat Imigresen di UTC dilanjutkan sehingga 10 malam mulai esok

PUTRAJAYA : Mulai 25 Mei ini, semua Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung Malaysia akan beroperasi sehingga pukul 10 malam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud memaklumkan, keputusan tersebut dibuat kerana walaupun beberapa penambahbaikan telah dibuat sebelum ini, masih terdapat kelemahan dalam proses pengeluaran Passport Malaysia Antarabangsa (PMA).
“Kami ingin memaklumkan bahawa semua Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung Malaysia akan beroperasi sehingga 10 malam mulai 25 Mei 2022 sebagai usaha berterusan untuk memudahkan urusan orang ramai mendapatkan PMA.
“Namun, pemanjangan waktu operasi ini tidak melibatkan pejabat-pejabat UTC di Perlis, Terengganu dan Pahang yang akan kekal beroperasi sehingga pukul 6 petang kerana jumlah permintaan PMA yang masih rendah,” katanya.
Menurutnya, pemanjangan waktu operasi UTC itu adalah tambahan kepada waktu operasi pejabat-pejabat pengeluar PMA yang dibuka sehingga pukul 10 malam dan hari Sabtu, sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa merujuk kepada maklumat terkini yang terdapat dalam portal rasmi dan media sosial rasmi JIM bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter-kaunter PMA khususnya di waktu pagi,” ujar beliau.