DuniaEkonomiSemasa

Pejabat kerajaan, sekolah di Sri Lanka ditutup dua minggu berikutan krisis bahan api

COLOMBO : Pihak berkuasa Sri Lanka mengumumkan penutupan pejabat kerajaan dan sekolah selama dua minggu berikutan operasi pengangkutan awam terpaksa dihentikan operasi kerana krisis kewangan untuk membayar bahan api yang diimport.

Menurut laporan Al Arabiya, Kementerian Pentadbiran Awam mengarahkan semua jabatan, institusi awam dan majlis tempatan mengekalkan perkhidmatan rangka mulai Isnin sebagai tindak balas kepada kekurangan petrol dan diesel yang teruk.

“Oleh kerana pengangkutan awam yang terhad serta ketidakupayaan untuk mengatur kenderaan persendirian, adalah diputuskan untuk mengekang secara drastik bilangan pekerja yang melaporkan diri ke tempat kerja,” kata kementerian itu.

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada 1948, dan tidak dapat membiayai import barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan api sejak akhir tahun lalu.

Negara itu juga berdepan rekod inflasi yang tinggi dan terputus bekalan elektrik yang berpanjangan menyumbang kepada protes menyeru Presiden Gotabaya Rajapaksa untuk berundur.

Awal minggu ini, pihak berkuasa mengisytiharkan hari Jumaat sebagai cuti sebagai usaha untuk menjimatkan bahan api.

Kementerian Pendidikan berkata semua sekolah telah diminta untuk ditutup selama dua minggu mulai Isnin dan memastikan pengajaran dalam talian jika pelajar dan guru mempunyai akses kepada bekalan elektrik.

Perintah penutupan itu dibuat sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan respons kecemasan terhadap krisis ekonomi yang belum pernah terjadi dengan memberi makan kepada ribuan wanita hamil yang menghadapi kekurangan makanan.

Program Makanan Sedunia (WFP) berkata ia mula mengedarkan baucar makanan kepada kira-kira 2,000 wanita hamil di kawasan sekitar Colombo sebagai sebahagian daripada “bantuan menyelamatkan nyawa” pada Khamis.

WFP cuba mengumpul sebanyak 60 juta dolar untuk bantuan makanan antara Jun dan Disember.

Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya yang berjumlah 51 bilion dolar pada bulan April, dan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa bagi mendapat dana.

Related Articles

Back to top button