Pembunuhan beramai-ramai israel di Gaza yang terkepung dan pencerobohan lintasan Rafah, yang menghubungkan Gaza ke Mesir, telah menghalang 2,500 rakyat Palestin daripada menunaikan haji tahun ini, menurut Kementerian Wakaf di kawasan yang disekat itu.
“Ini adalah pelanggaran jelas terhadap kebebasan beragama,” kata jurucakap kementerian Ikrami Al-Mudallal, kepada Anadolu Agency pada Khamis.
Peperangan itu telah menghalang kementerian daripada menyelesaikan persiapan haji seperti biasa, termasuk menandatangani kontrak pengangkutan di Mesir dan Arab Saudi dan menempah penginapan di Mekah dan Madinah, tambahnya.
“Kumpulan ini mewakili 38 peratus daripada keseluruhan 6,600 jemaah haji Palestin,” katanya.
Al-Mudallal berkata kementerian sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi dan Mesir untuk menangani apa yang mereka sifatkan sebagai “pelanggaran terang-terangan” hak jemaah Palestin dan mencari jalan bagi mereka untuk melakukan perjalanan haji.
Beliau memberi jaminan bahawa jemaah haji yang terjejas tahun ini tidak akan kehilangan hak mereka untuk menunaikan haji tahun depan, dengan keutamaan diberikan kepada mereka, terutamanya kerana ramai yang telah menunggu giliran mereka selama bertahun-tahun dan 70 peratus adalah warga emas atau sakit.
israel telah membunuh sekurang-kurangnya 37,202 rakyat Palestin – 71 peratus daripada mereka adalah wanita, kanak-kanak dan bayi -– dan mencederakan 84,932 dengan lebih 10,000 dipercayai tertimbus di bawah runtuhan rumah yang dibom.
Pihak berkuasa israel bertanggungjawab atas “jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam serangannya ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut suruhanjaya yang disokong PBB.
Suruhanjaya Siasatan, yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, menyatakan “serangan meluas atau sistematik yang ditujukan terhadap penduduk awam di Gaza” termasuk “kebuluran sebagai kaedah peperangan”.
Rakyat Palestin menghadapi kelaparan yang meluas kerana israel telah memutuskan sebahagian besar aliran makanan, ubat-ubatan dan bekalan lain. Agensi PBB berkata lebih 1 juta dalam kalangan 2.4 juta penduduk Gaza boleh mengalami tahap kebuluran tertinggi menjelang pertengahan Julai.
Di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
SUMBER: AA TRT WORLD