
Pengarang terkenal Ireland, Sally Rooney menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong kumpulan Tindakan Palestin (Palestine Action) walaupun organisasi itu telah diharamkan kerajaan United Kingdom (UK) di bawah Akta Keganasan 2000.
Dalam tulisan di Irish Times, Rooney yang terkenal dengan novel Normal People dan Conversations with Friends berkata beliau akan menyalurkan baki bayaran daripada adaptasi novelnya kepada kumpulan tersebut sebagai tanda solidariti.
“Saya juga menyokong Tindakan Palestin. Jika ini menjadikan saya ‘penyokong keganasan’ di bawah undang-undang UK, maka biarlah,” katanya.
Rooney turut mengkritik keputusan kerajaan UK yang melabel kumpulan itu sebagai “organisasi pengganas”, sambil mengaitkan tindakan keras pihak berkuasa yang telah menahan lebih 500 penunjuk perasaan dalam demonstrasi menuntut pembatalan larangan tersebut di London.
Menurut beliau, hasil daripada siaran adaptasi novelnya di BBC masih diterima sehingga kini, dan dana itu akan digunakan untuk menyokong gerakan menentang “pembunuhan beramai-ramai” di Palestin.
“Buku saya masih diterbitkan di Britain dan dijual di kedai buku serta pasar raya. Saya mahu jelas bahawa saya akan menggunakan hasil kerja saya, dan juga platform awam saya, untuk menyokong Tindakan Palestin dengan apa cara sekalipun,” tambahnya.
Duta Palestin ke Ireland, Jilan Wahba Abdalmajid memuji keberanian Rooney, menyifatkan beliau sebagai suara penting dalam menuntut keadilan dan menghentikan pencabulan hak asasi manusia di Palestin.
Sementara itu, jurucakap BBC menjelaskan Rooney bukan kakitangan tetap syarikat itu, dan pihak penyiar tidak campur tangan terhadap cara penulis menggunakan hasil karya mereka.
Larangan terhadap Tindakan Palestin sebelum ini diluluskan Parlimen UK selepas kumpulan itu melakukan siri protes termasuk menyimbah cat ke atas pesawat tentera di sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja. Bagaimanapun, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB telah mengkritik keputusan UK, manakala Mahkamah Tinggi turut membenarkan semakan kehakiman penuh yang difailkan pengasas bersama kumpulan tersebut, Huda Ammori.
Sumber: TRT World & Agensi