PUTRAJAYA : Selepas menilai situasi Covid-19 semasa, tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura kini dijual semula dan akan berkuat kuasa secara serta-merta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata namun ketika ini, bagi kapasiti bas dan penerbangan, jualan tiket dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada kuota sedia ada.
“Bagaimanapun bagi penumpang yang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota yang telah ditetapkan sebelum ini.
“Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket ini bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) diperlukan bagi pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan.
Ia selaras dengan pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara, termasuk pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL.
Pada 22 Disember lalu, KKM memaklumkan penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan untuk VTL Malaysia-Singapura yang berkuat kuasa sepanjang tempoh 23 Disember sehingga 20 Januari.