DuniaSemasaSyria

Penjara Syria diserang Daesh, bebaskan pemberontak

BEIRUT: Penjara yang dikawal puak Kurd di timur laut Syria diserang Kumpulan Daesh semalam bagi membebaskan rakan seperjuangan mereka.

Kumpulan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain, mengesahkan perkara itu tanpa mendedahkan jumlah mereka yang melarikan diri.

Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai puak Kurd turut mengesahkan serangan yang jarang berlaku itu dalam satu kenyataan, namun mereka juga tidak menyebut siapa tahanan yang melarikan diri.

Difahamkan, sebelum pejuang Daesh menyerang pasukan keselamatan Kurd yang mengawal penjara itu, sebuah bom kereta diletupkan di pintu masuk penjara Ghwayran dan letupan kedua pula berlaku di kawasan berhampiran.

“Sebilangan banduan berjaya melarikan diri,” kata badan pemantau yang bergantung kepada sumber rangkaian di Syria.

Ketuanya, Rami Abdul Rahman, memberitahu AFP bahawa Ghwayran adalah antara penjara terbesar menempatkan militan Daesh di wilayah separa autonomi yang dikawal oleh pihak berkuasa Kurd di timur laut Syria.

Menurut kenyataan SDF, Pemberontakan baharu dan cubaan melarikan diri oleh pengganas Daesh yang ditahan di penjara Ghwayran di al-Hasaka susulan letupan bom kereta.

Menurut badan pemantau, SDF menghantar bantuan ke penjara dan mengepung kawasan itu, malah pesawat milik tentera gabungan antarabangsa turut berlegar di atas penjara itu dan menjatuhkan suar di sekitarnya.

Dalam satu kenyataan kemudian, jurucakap SDF, Ferhad Sahmi, berkata bahawa ‘keadaan di dalam penjara kini terkawal’.

Menurut pihak berkuasa Kurd, pengganas Daesh dari 50 negara ditahan di penjara berkenaan, yang secara keseluruhan menempatkan lebih 12,000 banduan Daesh.

Dari Perancis hingga ke Tunisia, kebanyakan kerajaan negara asal pengganas Daesh itu tawar hati bagi menerima kembali berikutan risau dikritik penduduk di tanah air masing-masing.

Sementara itu, anggota keluarga pengganas Daesh yang ditahan termasuk kanak-kanak, ditahan di kem dikawal puak Kurd di Syria, yang terbesar ialah Al-Hol, menempatkan sekitar 56,000 pelarian. – AFP

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button