Washington, DC — Ketika ahli Kongres AS bersiap memberikan sambutan meriah kepada Perdana Menteri israel Benjamin Netanyahu, pemandangan yang sangat berbeza berlaku di luar Capitol. Penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul, menyuarakan bantahan mereka terhadap lawatan Netanyahu.
Antara penunjuk perasaan itu ialah Najjam Malik, 30, seorang warga Pakistan-Amerika yang bekerja di sebuah firma guaman. Bercakap kepada TRT World , Malik menyatakan, “Apabila anda melihat tahap penindasan ini (terhadap rakyat Palestin) anda perlu bangkit, terutamanya di negara ini.” Kata-katanya mewakili sentimen ramai yang merasakan konflik dan penindasan yang berterusan memerlukan perhatian segera.
Malik berkata ahli politik AS harus memotong bantuan ketenteraan kepada rejim Netanyahu, dengan mengatakan bahawa Menteri Pertahanan Yoav Gallant, Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, dan Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir tidak ada bezanya.
Beliau juga berkata bahawa israel perlu membenarkan rakyat Palestin memiliki negara sendiri.
“Jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan terus-menerus terlibat dalam konflik kejam ini,” tambahnya.
Seorang lagi peserta, Pengurus Dasar Adam Beddawi, memberitahu TRT World bahawa, “AIPAC menyedari bahawa arus berubah dalam kalangan generasi muda, dan oleh itu mereka telah berinisiatif untuk mendekati golongan muda, tetapi mesej mereka ditolak kerana orang memahami realiti sebenar – pembunuhan beramai-ramai.”
Beddawi berkata bahawa AS harus bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang terkepung sebagai lanjutan daripada tanggungjawab mereka kepada proses demokrasi, sambil menambah bahawa majoriti rakyat AS mahu melihat keamanan dan kebebasan untuk rakyat Palestin.
“Saya fikir ia sangat mudah: hanya dengar cakap orang,” tambahnya.
Protes “Netanyahu: anda tidak dialu-alukan di DC!” menyaksikan beribu-ribu orang berbondong-bondong dari semua negeri datang untuk membantah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di mana israel membunuh lebih 39,000 rakyat Palestin, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.
Penunjuk perasaan menuntut gencatan senjata, menghentikan bantuan ketenteraan kepada israel, dan penahanan Netanyahu.
SUMBER: TRT WORLD