Israel Bunuh 178 Pekerja Bantuan di Palestin Sepanjang 2024: Rekod Tertinggi dalam Sejarah
Tahun 2024 mencatatkan rekod hitam dalam sejarah bantuan kemanusiaan, dengan 281 pekerja bantuan terbunuh di seluruh dunia, menurut data Keselamatan Pekerja Bantuan. Angka ini mengatasi rekod sebelumnya pada tahun 2023, yang mencatatkan 280 kematian.
Di Palestin, 178 pekerja bantuan telah terkorban sejak Israel melancarkan perang kejam ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023. Angka ini menjadikan Gaza sebagai tempat paling berbahaya bagi pekerja bantuan pada tahun ini, menjadikannya konflik paling maut bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA), Jens Laerke, menyatakan kebimbangan mendalam terhadap keganasan ini. “Orang-orang ini melakukan kerja Tuhan, dan mereka dibunuh sebagai tindak balas. Apa kejadahnya?” katanya dalam sidang media di Geneva.
Kebanyakan mangsa adalah kakitangan tempatan, manakala 13 pekerja bantuan antarabangsa turut terbunuh. Dalam tempoh yang sama, serangan Israel juga telah meragut nyawa 226 pekerja kesihatan di Lubnan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua bantuan PBB, Tom Fletcher, menyifatkan situasi ini sebagai “keganasan yang memusnahkan operasi bantuan.” Beliau menyeru semua pihak yang berkonflik untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan membawa pelaku keganasan ke muka pengadilan.
Serangan berterusan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa tetapi juga menghalang operasi bantuan di kawasan konflik. Pakar menyatakan kebimbangan terhadap kesukaran membuktikan niat jenayah dalam kes-kes ini, yang terus memberikan impunitas kepada pelaku.
“Keganasan ini tidak wajar dan memusnahkan operasi bantuan,” tambah Fletcher.
Gaza kini menjadi simbol krisis kemanusiaan global, dengan para pekerja bantuan terus mempertaruhkan nyawa mereka untuk membantu mangsa konflik di wilayah tersebut.
Sumber: TRT World & Agensi.