
Pihak berkuasa imigresen Perancis menafikan kemasukan ketua majlis penempatan haram Israel di utara Tebing Barat, Yossi Dagan, sebaik sahaja beliau tiba di lapangan terbang Paris untuk menghadiri mesyuarat bersama ahli politik tempatan.
Langkah berkenaan disifatkan oleh media Israel sebagai satu “preseden diplomatik” memandangkan belum ada kes terdahulu di mana mana-mana negara Barat menyekat secara terus kemasukan pemimpin majlis serantau penempatan Israel. Menurut pejabat Dagan, pihak imigresen Perancis menahannya di bahagian kawalan pasport dan mengemukakan dokumen berhubung peranannya dalam membina 35 penempatan haram di Tebing Barat serta usahanya untuk mewujudkan semula blok penempatan Gush Katif di Gaza. Dagan mendakwa pegawai polis Perancis memaklumkan bahawa keputusan menyekat kemasukannya bersifat politik.
Ekoran tindakan penolakan tersebut, Dagan meneruskan perjalanan ke Prague bagi mengadakan pertemuan selama tiga hari bersama pegawai kanan kerajaan dan ahli parlimen Czechia.
Tindakan Perancis ini berikutan langkah penegasan terdahulu yang mengenakan sekatan dan larangan kemasukan ke atas peneroka haram Israel yang terlibat dalam keganasan terhadap orang awam Palestin. Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB turut mengesahkan bahawa penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 adalah haram dan tidak mempunyai kesahan undang-undang antarabangsa.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)







