EkonomiSemasa

Tengku Zafrul Ulangi Penjelasan Perbezaan Pelaburan Diluluskan MIDA Dan FDI DoSM

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menegaskan bahawa data pelaburan yang diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merujuk kepada cadangan pelaburan yang telah diluluskan, bukan angka aliran modal asing seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Beliau berkata, laporan MIDA hanya melibatkan sektor pengilangan dan perkhidmatan di bawah bidang kuasa agensi itu, meliputi pelaburan domestik serta pelaburan asing.

“Pengiraan pelaburan langsung juga merangkumi jumlah kos projek seperti tanah, kilang dan jentera,” katanya menerusi hantaran di Instagram dengan memuat naik semula penjelasan yang pernah dibuat tahun lalu.

Menurutnya, ia berbeza dengan pengiraan pelaburan langsung asing (FDI) bersih oleh DoSM, yang hanya menilai aliran masuk dan keluar pelaburan asing berdasarkan transaksi kewangan seperti pelaburan dalam ekuiti, saham, hutang, dividen serta keuntungan yang dilabur semula.

“Contohnya, jika syarikat asing membeli saham dan mengambil alih syarikat tempatan, MIDA tidak mengira itu sebagai pelaburan langsung kerana tiada projek baharu. Tetapi bagi DoSM, ia dikira sebagai FDI. Jadi, pelaburan diluluskan MIDA dan FDI bersih DoSM mengukur perkara yang berbeza dan tidak boleh dibandingkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata status pelaburan yang diluluskan oleh MIDA akan diumumkan dari semasa ke semasa, selaras dengan perkembangan pelaksanaan atau penyiapan projek.

“Komen yang kata tidak nampak pelaburan masuk? Kilang itu tidak semestinya dibina di sebelah rumah kita, jadi memanglah tak nampak. Tetapi kalau kita pergi ke kawasan perindustrian seperti di Pulau Pinang, hab semikonduktor Malaysia, insya-Allah kita akan lihat pembangunan pesat dengan banyak kilang baharu,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button