DuniaSemasa

Persahabatan Jadi Teras Hubungan Malaysia-Rusia – Yang di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa lawatan negara baginda ke Rusia mencerminkan komitmen ikhlas untuk memperkukuh kerjasama dan hubungan dua hala yang telah terjalin lebih lima dekad.

Baginda menegaskan bahawa Malaysia melihat Rusia sebagai rakan strategik yang dipercayai dan penting, sambil mengimbas bahawa hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah dimeterai secara rasmi pada April 1967, menjadikan Malaysia antara negara ASEAN terawal yang berbuat demikian.

“Seperti pepatah Rusia, persahabatan lebih berharga daripada wang. Semangat inilah yang akan terus membentuk hala tuju hubungan kita demi kepentingan rakyat,” titah baginda ketika pertemuan rasmi dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Grand Kremlin Palace di sini hari ini.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamad Zin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Sementara itu, hadir bersama Presiden Putin ialah barisan pegawai kanan Rusia termasuk Pembantu Presiden bagi Hal Ehwal Antarabangsa Yury Ushakov, Menteri Pembangunan Ekonomi Maxim Reshetnikov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Valery Falkov, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Alexander Pankin dan Timbalan Menteri Pertahanan Alexander Fomin.

Lawatan ini merupakan kunjungan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Rusia sejak menaiki takhta, dan juga kunjungan rasmi pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke negara tersebut. Lawatan baginda dijadual berlangsung sehingga 10 Ogos atas jemputan Putin.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button