Persediaan bantuan ke Gaza dipergiat menjelang musim sejuk
MESIR – Di sebalik tindakan Israel yang berterusan menangguhkan pembukaan semula lintasan Rafah, organisasi bantuan kini sedang giat menyediakan bantuan asas dan keperluan penting untuk dihantar ke Gaza sebagai persediaan menjelang musim sejuk.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), trak bantuan dari Mesir kini dialihkan melalui lintasan Kerem Shalom di Tenggara Gaza untuk pemeriksaan oleh rejim Zionis sebelum dibenarkan memasuki wilayah itu.
Di sebuah gudang di Giza, Mesir, bekalan kritikal dan paling diperlukan penduduk Gaza dikumpulkan termasuk beras, tepung dan makanan dalam tin.
Bahan makanan asas itu menjadi talian hayat yang sangat penting buat penduduk yang kini berdepan masalah kekurangan makanan dan kebuluran.

Musim sejuk dengan peningkatan jumlah hujan mengakibatkan keperluan kepada barangan asas di samping tempat perlindungan semakin mendesak.
Susulan perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel, agensi bantuan bekerja keras memastikan penghantaran keperluan ke Gaza berjaya sekali gus mengelakkan krisis kemanusiaan terus meruncing.
Mesir pada 12 Oktober lepas telah menghantar konvoi bantuan kemanusiaan terbesarnya ke Gaza.
Konvoi itu terdiri daripada 400 buah trak yang membawa 9,000 tan bekalan bantuan, termasuk makanan, bekalan perubatan dan bahan api. – REUTERS







