PalestinSemasa

Pertama Kali: Netanyahu Lucut Kewarganegaraan Dua Rakyat Palestin-Israel, Arah Pengusiran ke Gaza

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Selasa telah menandatangani perintah membatalkan kewarganegaraan dua rakyat Palestin yang menetap di wilayah Israel, dalam satu tindakan drastik yang pertama seumpamanya.

Menurut laporan penyiar awam Israel, kedua-dua individu tersebut akan dihantar pulang secara paksa ke Semenanjung Gaza, sebuah wilayah yang kini sedang mengalami kehancuran akibat perang genosid yang berlarutan sejak Oktober 2023.

“Ramai Lagi Akan Menyusul”

Melalui hantaran di platform X, Netanyahu mengesahkan bahawa beliau telah menandatangani perintah pembatalan kewarganegaraan dan pengusiran terhadap Mahmoud Ahmed dan Mohammed Ahmed Hussein Halasi. Beliau mendakwa kedua-dua individu tersebut terlibat dalam serangan tikaman dan tembakan terhadap orang awam Israel.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah amaran yang dikeluarkan oleh beliau sejurus selepas itu.

“Ramai lagi seperti mereka sedang dalam perjalanan,” kata Netanyahu, yang turut memberi amaran mengenai langkah-langkah tambahan terhadap penduduk Palestin di wilayah yang diduduki Israel sejak 1948 (Arab-Israel).

Preceden Berbahaya dan Diskriminasi

Tindakan ini dilihat sebagai satu langkah permulaan yang berbahaya terhadap komuniti Palestin-Israel yang membentuk lebih 20 peratus daripada populasi 10 juta orang di negara itu. Komuniti ini sekian lama melaporkan pengalamaan diskriminasi sistemik, peminggiran, dan penyasaran oleh kerajaan-kerajaan Israel sebelum ini.

Pakar undang-undang antarabangsa melihat langkah pengusiran ini sebagai satu lagi pencabulan hak asasi manusia, terutamanya apabila ia dilakukan oleh seorang pemimpin yang kini dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang di Gaza.

Setakat ini, Gaza merupakan zon konflik paling berbahaya dengan populasi 2.4 juta rakyat Palestin yang kini hidup di bawah ancaman kebuluran dan serangan udara yang berterusan. Pengusiran rakyat dari wilayah asal mereka ke zon perang genosid dianggap oleh ramai pihak sebagai satu bentuk hukuman kolektif yang kejam.


Sumber: Agensi Anadolu (AA) dan TRT World.

Related Articles

Back to top button