SemasaSukan

Piala Asia 2025: Malaysia Tutup Kumpulan B Dengan Rekod Sempurna, Tewaskan Taiwan 15-0

Skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers, menamatkan kempen peringkat Kumpulan B Piala Asia 2025 dengan rekod bersih selepas membelasah Taiwan 15-0 pada aksi terakhir di Rajgir, India, hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar itu, Mohamad Akhimullah Anuar Esook muncul wira dengan lima jaringan pada minit ke-10, 20, 29 (penalti strok), 45 dan 56.

Rakan sepasukan, Mohamad Ashran Hamsani, turut mencuri tumpuan dengan empat gol (m-8, 15, 32, 54), manakala tiga lagi disumbangkan oleh Norsyafiq Sumantri (20’, 40’, 60’). Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (22’), Andywalfian Jeffrynus (24’) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (32’) melengkapkan senarai penjaring.

Kemenangan besar itu memastikan Malaysia mengungguli Kumpulan B dengan sembilan mata penuh, meninggalkan Korea Selatan di tempat kedua (enam mata), Bangladesh (tiga mata) dan Taiwan yang pulang tanpa sebarang mata.

Sebelum ini, skuad kendalian Sarjit Singh sudah menempah slot ke pusingan Super Four selepas menewaskan Korea Selatan 4-1 pada aksi kedua, selain membuka kempen dengan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh.

Mengikut format kejohanan, dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke Super Four, dan hanya dua terbaik daripada peringkat itu akan beraksi di pentas final pada Ahad ini.

Juara kejohanan bakal mendapat tiket automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belanda dan Belgium.

“Super Four adalah cabaran sebenar buat kita. Pemulihan pemain sangat penting kerana kita akan bertemu semula Korea Selatan, selain India dan sama ada China atau Jepun. Untuk layak ke final, kita perlukan sekurang-kurangnya enam mata,” kata Sarjit menerusi rakaman video kepada media malam ini.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button