PolitikSemasa

Pindaan Akta SUHAKAM, Jurang Inflasi-Kos Sara Hidup Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

Cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 1999 serta isu jurang antara kadar inflasi dan peningkatan kos sara hidup menjadi antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sesi soal jawab hari ini menyaksikan Teresa Kok (PH-Seputeh) meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk meminda Akta SUHAKAM. Pindaan itu dicadangkan bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan menjana sumber pendapatan tambahan sendiri melalui pelaksanaan latihan dan kursus, sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Selain itu, dewan turut memberi tumpuan kepada soalan daripada Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) kepada Menteri Ekonomi mengenai penilaian kerajaan terhadap jurang antara kadar inflasi rasmi dan peningkatan kos sara hidup yang dirasai rakyat. Beliau turut meminta penjelasan mengenai indikator yang digunakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara benar-benar mampu meningkatkan kuasa beli isi rumah.

Turut dibangkitkan pada sesi sama ialah isu pemindahan atau perubahan guna tanah melibatkan kolam takungan banjir, khususnya di Kuala Lumpur, oleh V. Ganabatirau (PH-Klang). Manakala Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan nisbah pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berbanding bukan STEM serta sasaran jumlah jurutera bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi.

Persidangan hari ini juga dijadualkan membabitkan pembentangan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat ini berlangsung selama 16 hari dan dijadualkan berakhir pada 16 Julai.

BERNAMA

Related Articles

Back to top button