DomestikSemasa

Polis Perlis Rampas Mesin Bitcoin RM958,000, TNB Rugi RM15.5 Juta Akibat Curi Arus

Pihak polis Perlis berjaya menumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin haram menerusi serbuan di tujuh premis berasingan di sekitar Kangar dan Kuala Perlis pada 31 Disember lalu. Dalam operasi tersebut, sebanyak 259 unit mesin perlombongan bitcoin beserta peralatan sokongan dengan anggaran nilai keseluruhan RM958,000 telah dirampas.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim mendedahkan bahawa aktiviti ini telah menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanggung kerugian besar yang dianggarkan mencecah RM15.55 juta. Kerugian ini berpunca daripada tindakan sindiket melakukan penyambungan elektrik secara haram tanpa meter bagi menjana kuasa mesin-mesin tersebut, yang dipercayai telah beroperasi antara tiga bulan hingga setahun.

Serbuan di bawah ‘Op Cantas Elektrik’ ini dilancarkan susulan aduan awam mengenai gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitar akibat penggunaan tenaga yang berlebihan. Operasi bersepadu ini turut dibantu oleh pasukan teknikal TNB dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam perkembangan berkaitan, seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button