
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini sedang mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung implikasi perundangan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri sebaik sahaja selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 esok.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata penelitian oleh pihak AGC itu amat penting bagi memastikan setiap tindakan serta keputusan yang bakal diambil mematuhi sepenuhnya peraturan pilihan raya yang sedia ada.
Menurut beliau, berdasarkan ketetapan peraturan semasa, kesemua proses pilihan raya yang telah dijadualkan perlu diteruskan seperti biasa, manakala sebarang pengumuman rasmi berhubung perkara berkenaan hanya akan dibuat selepas SPR menerima pengesahan daripada pihak berkaitan.
“Saya sudah minta perkara ini disemak dengan pihak AGC dan perkara ini masih lagi dalam semakan. Terdapat peraturan-peraturan berkaitan yang perlu kita patuhi.
“Kalau berdasarkan peraturan sedia ada, kita kena lihat semua proses pilihan raya ini terpaksa juga dijalankan, mesti dijalankan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tahap persiapan hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon N.07 Samariang yang bertempat di Dewan Serbaguna Taman Sukma di sini, hari ini.
Sumber: BERNAMA







