PalestinSemasa

Israel Kemuka Rancangan Baharu Bina 450 Unit Penempatan Haram Di Umm Lison

Pihak berkuasa Israel bertindak mengemukakan rancangan baharu untuk membina sebuah kawasan penempatan haram berskala besar di dalam kawasan kejiranan Palestin di Umm Lison, Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Amaran tersebut dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan hak asasi manusia Israel, Ir Amim, menerusi satu kenyataan rasmi.

Menurut pertubuhan itu, Jawatankuasa Perancangan dan Bangunan Daerah Jerusalem telah meluluskan pelan pembinaan kira-kira 450 unit perumahan penempatan haram di Umm Lison. Kelulusan ini diberikan selepas projek berkenaan dibekukan selama lebih dua tahun berikutan masalah berkaitan isu infrastruktur.

Kawasan Umm Lison terletak di antara dua kejiranan Palestin iaitu Jabal al-Mukabber dan Sur Baher di Baitulmaqdis Timur, serta kini menempatkan sekitar 800 unit kediaman milik penduduk Palestin.

Ubah Ciri Demografi dan Struktur Bandar

Ir Amim menegaskan bahawa projek penempatan baharu itu dijangka akan mengubah landskap bandar dan demografi kawasan kejiranan berkenaan secara drastik melalui kemasukan ratusan unit rumah haram di tengah-tengah petempatan sedia ada masyarakat Palestin.

Pertubuhan itu turut menyifatkan skala projek tersebut sebagai sesuatu yang “belum pernah berlaku sebelum ini” di kawasan kejiranan Palestin di Baitulmaqdis Timur.

Pihaknya memberi amaran bahawa projek terbabit bakal menempatkan sekitar 2,000 pendatang haram Yahudi, sekali gus berisiko tinggi mencetuskan pergeseran dengan penduduk asal Palestin selain menjejaskan kestabilan di wilayah berkenaan.

Dalam pada itu, Ir Amim menyelar tindakan majlis perbandaran Jerusalem yang disifatkan mencerminkan “pilihan politik yang jelas” demi memacu perluasan penempatan haram, dan bukannya satu keputusan perancangan bandar yang biasa. Mereka turut menuduh pihak berkuasa tempatan mengutamakan kepentingan penjajah dengan meminggirkan hak mutlak warga Palestin di bandar suci itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah berulang kali menegaskan bahawa keseluruhan pembinaan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah dan haram di bawah undang-undang antarabangsa, serta menjejaskan usaha ke arah mencapai penyelesaian dua negara.

Rakyat Palestin terus bertekad untuk menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara masa depan mereka berpandukan resolusi antarabangsa yang tidak mengiktiraf tindakan pengilhakan bandar itu oleh Israel pada tahun 1980 mahupun pendudukan ketenteraan sejak tahun 1967.

SUMBER: TRT World / Agensi

Related Articles

Back to top button