Semasa

Program Dapur Ramadan MAPIM 2025: Kongsi Rezeki, Eratkan Silaturahim 

Ramadan adalah bulan keberkatan, bulan memberi dan berkongsi rezeki. Untuk itu, MAPIM Malaysia memperkenalkan Dapur Ramadan Mobile Kitchen – satu inovasi dalam memasak dan mengedarkan juadah berbuka dan moreh secara langsung di masjid-masjid terpilih sepanjang bulan Ramadan.

Dapur Ramadan menyediakan hidangan segar dan berkhasiat untuk kira-kira 500 penerima manfaat. Hidangan yang disediakan bukan sahaja memberikan kelazatan, tetapi juga membawa simbol kasih sayang dan solidariti umat Islam dalam menyantuni mereka yang memerlukan.

Hidangan yang disajikan setiap hari termasuk iftar dan moreh yang dimasak segar di lokasi masjid terpilih, bersama buah-buahan, kuih muih, dan aneka minuman untuk menyegarkan badan selepas seharian berpuasa. Matlamat program ini adalah untuk berkongsi rezeki di bulan yang mulia sambil mengeratkan silaturahim di kalangan umat Islam, di mana setiap suapan adalah lambang kebersamaan yang akan dikenang hingga ke akhirat.

Program Dapur Ramadan MAPIM 2025 hasil idea daripada CEO MAPIM Malaysia, Dato’ Sani Araby Al Kahery, sehingga setakat ini telah menyediakan juadah untuk jemaah di dua lokasi utama, iaitu Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota.

Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS)

Di Masjid Al-Azhar, sebanyak 1000 pek juadah moreh telah diagihkan kepada jemaah yang terdiri daripada para pelajar, penduduk setempat, dan kanak-kanak. Juadah yang disajikan termasuk kuey tiaw goreng yang dimasak panas-panas, pelbagai kuih muih, serta air teh tarik dan air balang apple lemon soda. Pasukan Mobile Kitchen MAPIM bekerja dengan cekap untuk memastikan sistem edaran yang tersusun, sehingga jemaah dapat menikmati hidangan tanpa perlu menunggu lama.

Naib Presiden MAPIM, Tuan Zulhanis Zainol, turut hadir untuk menyantuni jemaah dan memberi sokongan kepada pasukan yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Kehadiran beliau memberikan semangat tambahan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota

Di Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, pasukan Mobile Kitchen MAPIM Malaysia juga berjaya mengagihkan 500 pek juadah moreh selepas solat Tarawih. Juadah yang disediakan termasuk kuey tiaw goreng yang disajikan bersama teh tarik dan strawberi lemon soda. Program ini tidak hanya memberi peluang kepada umat Islam untuk berbuka dengan hidangan yang segar dan berkhasiat, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan jemaah masjid.

Menurut CEO MAPIM Malaysia, Dato’ Sani Araby Al Kahery, “Melalui program ini, selain mahu memberi khidmat kepada jemaah masjid yang tekun beribadah, MAPIM juga mahu mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Ini adalah manifestasi daripada nilai-nilai kebersamaan dan kasih sayang yang sepatutnya kita amalkan, bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi sepanjang masa.”

Salurkan Infaq Anda Hari Ini

MAPIM membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta dalam usaha murni ini dengan menyumbang. Infaq yang diberikan akan membantu melanjutkan program ini kepada lebih ramai umat Islam yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui pautan berikut: https://mapim.berisalam.net/.

Hadis Riwayat Tirmizi: “Barangsiapa memberi makan kepada seorang mukmin yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikit pun dari pahalanya.”

Semoga segala amal kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadhan ini membawa keberkatan dan ganjaran dari Allah SWT, serta menjadi saksi bagi seluruh warga MAPIM dan para pendana menuju syurga. Ameen.

Related Articles

Back to top button