Semasa

Pulau Perak diisytihar titik rujukan paling barat Malaysia

ALOR SETAR : Pulau Perak di Yan, Kedah akan menggantikan Tanjung Chinchin di Langkawi sebagai titik rujukan paling barat Malaysia bagi hitungan kalendar Islam di negara ini dan mula berkuat kuasa pada 1 Muharam 1444 Hijrah ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dalam satu hantaran di Facebook berkata, pengisytiharan lokasi tersebut dibuat menerusi kajian Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang membuat penjanaan data.

“Untuk pengetahuan semua pada masa ini, Kalendar Islam Malaysia disediakan menggunakan Kaedah Rukyah dan Hisab berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan hilal),” katanya.

“Keputusan itu kemudiannya diangkat kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-118 yang bersidang Februari tahun lalu. Muzakarah bersetuju mengenai perubahan titik rujukan tersebut dalam penyediaan takwim hijri bermula 2022 atau 1444 hijrah,” katanya.

Menurut Idris, pengisytiharan lokasi tersebut mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang turut merasmikan Majlis Perasmian Pengisytiharan Pulau Perak Sebagai Titik Rujukan Paling Barat Malaysia Bagi Hitungan Kalendar Islam dan Pelancaran Bulan Falak Kebangsaan 2022 semalam.

Dalam pada itu, Tanjung Atiam, Sabah merupakan titik rujukan paling timur Malaysia.

Related Articles

Back to top button