DomestikSemasa

MAPIM antara tiga NGO yang memeterai perjanjian dengan UiTM

'meningkatkan keberkesanan pertubuhan dan aktivis Islam dalam usaha membina masyarakat Islam yang ‘Khairo Ummah’ secara menyeluruh'

SHAH ALAM : Bermatlamat memperkasa agenda Ummah di Malaysia dan di peringkat global, pada Isnin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) secara rasmi dengan tiga buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tiga NGO tersebut terdiri daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Yayasan Amal Maaruf Malaysia (YAMM). Majlis bersejarah ini telah berlangsung di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam dengan kehadiran Naib Canselor UiTM sebagai wakil Institut Pengajian Tinggi tersebut. Hadir bersama  dalam majlis tersebut adalah Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Prof. Madya Dr Afandi Bin Mat Rani selaku saksi untuk UiTM.

MAPIM diwakili oleh Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid (Cikgu Azmi), disaksikan oleh Ahli Penasihat Majlis Syura MAPIM, Dr Mohamad Fauzi Zakaria. Manakala PERKIM pula telah diwakili oleh Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dengan disaksikan oleh Timbalan Yang Dipertua PERKIM, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd. Halim. Yang Dipertua YAMM, Haji Hamsan Bin Omar pula mewakili NGO tersebut dengan disaksikan oleh Setiausaha YAMM Haji Ahmad Syahir bin Sarani.

Dalam ucapan Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor mengatakan UiTM yakin melalui kerjasama dengan 3 NGO ini, pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilau murni yang berterusan, akan melahirkan graduan profesional yang berkualiti serta menyumbang bukan sahaja untuk kesejahteraan dirinya, malah kepada agama, masyarakat dan negara.

Naib Cancelor UiTM: Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor

“Saya yakin dan percaya pelbagai agenda mahupun aktiviti telah dirancangkan bagi merancakkan kerjasama ini termasuklah dari aspek penyelidikan, inovasi, penerbitan, aktiviti perundingan dan CSR”

Bukan itu sahaja, dengan termerainya Memorandum Persefahaman ini, UiTM berharap agar melebar luas pembangunan dan kebolehpasaran, warga akademik dapat menjalani penempatan bersilang atau mobiliti kerja bagi mendalami kepakaran, mempertingkatkan keberhasilan dan mencontohi budaya prestasi tinggi antara dua lapangan yang berbeza dari segi teori dan praktikal.

Di dalam MoU yang dijalinkan oleh UiTM bersama 3 NGO, mereka bersetuju untuk berkerjasama di dalam merealisasikan pelaksanaan pelbagai program, pertukaran staf, penerimaan pelajar bagi satu tempoh pengajian atau penyelidikan, mesyuarat, simposium, konferensi dan banyak lagi kerjasama di dalam pelbagai bidang lain yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dari semasa ke semasa.

Cikgu Azmi ketika ditanya wartawan pula menjelaskan, terdapat beberapa tujuan jalinan kerjasama ini dijalankan, yang pertama untuk mengembangkan perhubungan antara UiTM dengan masyarakat NGO.

Yang kedua, kita saling berkongsi pengalaman sebuah IPT dengan MAPIM sebagai sebuah NGO untuk mengadakan pelbagai perkongsian ilmu, perkongsian kajian, kaji selidik dan sebagainya.

“Seterusnya Memorandum ini adalah untuk menghubungkan MAPIM dengan warga UiTM. Dengan itu kita boleh mendidik pelajar-pelajar atau mahasiswa agar mereka dapat memanfaatkan pengalaman MAPIM sebagai badan yang sukarela. Dengan erti kata lain, MAPIM ingin melatih pelajar-pelajar atau mahasiswa UiTM sebelum mereka melangkah masuk ke dalam industri nanti.”

Cikgu Azmi turut menambah MAPIM komited untuk memberi pandangan dan cadangan kepada kajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) berkaitan bagaimana untuk mengembangkan lagi kokurikulum yang berkaitan dengan ‘contemporary Islamic Studies’.

“MAPIM juga ingin mendapat manfaat dari segi untuk menggunakan kajian-kajian yang berkualiti di UiTM. Kajian itu boleh digunakan bagi memungkinkan MAPIM untuk melakukan pelbagai kempen yang lebih mantap dan bermanfaat.”

Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini secara tidak langsung boleh memperkasakan agenda Ummah. Selain itu, hal ini boleh membantu dalam meningkatkan keberkesanan pertubuhan dan aktivis Islam dalam usaha membina masyarakat Islam yang ‘Khairo Ummah’ secara menyeluruh.

Oleh Khairulanwar Mohd Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button