KemanusiaanSemasa

Purata dua kes bunuh diri setiap hari – PDRM

Ini meresahkan semua

KUALA LUMPUR: Statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat purata dua kes bunuh diri setiap hari bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata sebanyak 609 kes bunuh diri direkodkan pada 2019 diikuti 631 kes pada 2020.

“Bagi tempoh lima bulam pertama antara Januari hingga Mei tahun ini adalah sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan.

“Ini menyaksikan secara purata sebanyak dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abd Jalil berkata, bagi tempoh itu juga seramai 1,427 wanita dan 281 lelaki dilaporkan membunuh diri.

“Seramai 872 orang yang membunuh diri adalah berumur 15 hingga 18 tahun manakala mangsa berusia 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.

“Dalam perkembangan berkaitan, Johor mencatatkan kes bunuh diri tertinggi pada 2019 dan 2020 iaitu sebanyak 101 kes,” katanya.

Tambahan beliau, pada tahun ini pula Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 117 kes.

“Siasatan polis turut mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian ini ialah mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.

“Cara atau kaedah membunuh diri yang kerap berlaku berdasarkan statistik PDRM adalah gantung diri sebanyak 75.1 peratus, terjun bangunan (13.6 peratus) dan minum racun (5.7 peratus),” katanya.

Katanya, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini.

“Individu yang mengalami masalah kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, keluarga dan sebagainya haruslah diberi bantuan serta sokongan keluarga serta rakan terdekat.

“PDRM menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan seperti yang dinyatakan di atas supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan terdekat dan pihak yang menyediakan khidmat nasihat,” katanya.

Mengulas hal yang sama, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia berkata,

(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan Malaysia

“Inilah yang menjadi kegusaran kami di MAPIM Malaysia. Ia menjadi cabaran baru kepada kami. Sebelum ini kami menyampaikan bantuan untuk mereka yang terjejas daripada segi ekonomi, tetapi sekarang situasinya, kami juga perlu membantu mereka yang terkesan emosi dan perasaannya. Untuk itu, MAPIM berusaha meringankan beban mereka dengan menggerakkan Bantuan Khas Dalam Negara. Bantuan SOS untuk mereka yang memerlukan, seperti edaran kotak bantuan setiap hari, perkhidmatan ambulan percuma dan pemeriksaan kesihatan percuma melalui Ummah Mobile Clinic. Kami tidak mampu bergerak sendirian, kami perlukan sokongan semua, kerana ini adalah misi kita bersama.”

Untuk itu MAPIM Malaysia sedang mencari 200 orang rider yang boleh menghantar kotak bantuan setiap hari kepada yang memerlukan. Untuk yang berminat boleh klik link dibawah ini untuk pendaftaran segera sebelum 2hb Julai 2021 (11am)

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfKWDZVarjXaF1hCDPJDFEOrLFFIWGRPxrBowobV3dBAD0DxQ/viewform

Oleh : NurFaisal Hakim  – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM / AJ

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button