DomestikSemasa

Rasuah: Shamsul Iskandar dan Albert Tei bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing dijadualkan untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung kes rasuah.

Semakan sistem mahkamah menunjukkan kes mereka akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada pukul 9 pagi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, semalam memberitahu sidang media bahawa kedua-dua individu itu bakal berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan satu pertuduhan tambahan akan disebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada hari Jumaat.

Pertuduhan yang dihadapi melibatkan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 bagi kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) bagi kesalahan memberi suapan, manakala siasatan dibuka di bawah Seksyen 16 akta sama.

Shamsul Iskandar, 50, dan Albert Tei, 37, telah direman selama enam hari bermula 29 November lalu selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM bagi melengkapkan siasatan.

Kes ini melibatkan dakwaan bahawa Tei didakwa memberi rasuah kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula sejumlah dana yang dikatakan telah diagihkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button