DomestikSemasa

Bedah Siasat Selesai, Jenazah Zara Qairina Dibawa Pulang ke Sipitang

Proses bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina Mahathir, 13, di Hospital Queen Elizabeth I selesai petang tadi, sebelum jenazah dibawa keluar kira-kira jam 9.30 malam untuk dikebumikan semula di tanah perkuburan Kampung Mesapol, Sipitang.

Sumber memaklumkan, prosedur tersebut tamat sekitar 7.30 malam, manakala proses penggalian semula kubur telah dilakukan sehari sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata keadaan di sekitar hospital terkawal walaupun ramai orang awam hadir sejak pagi. Beliau menggesa orang ramai untuk bersurai selepas urusan selesai bagi menjaga kelancaran operasi.

Penggalian semula itu dilaksanakan susulan arahan Jabatan Peguam Negara, yang menilai perlu adanya pemeriksaan forensik tambahan bagi melengkapkan siasatan Polis Diraja Malaysia.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di hospital tersebut pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agamanya di Papar sekitar jam 4 pagi.

Related Articles

Back to top button