agamaSemasa

Renungan agama : Pilih kucing ataupun jiran?

Oleh : Zuhaili

Sebagaimana yang kita ketahui, kucing merupakan haiwan yang tidak asing dalam kalangan masyarakat Malaysia. Rata-rata masyarakat di Malaysia ini ramai memilih kucing sebagai haiwan peliharaan yang terdiri dari pelbagai baka seperti baka Maincoon, Domestic Short Hair, Domestic Long Hair dan sebagainya. Apabila menyebut tentang kucing, pasti yang terbayang di fikiran kita adalah makhluk berbulu yang sangat comel, mungil dan aktif. Namun begitu, seperti mana pepatah menyebutkan indah khabar dari rupa, perjalanan seorang pencinta kucing tidak mudah kerana perlu berdepan dengan mehnah dan ujian.

Antaranya isu pergaduhan dan salah faham sesama jiran apabila kucing membuang najisnya merata-rata di kawasan rumah jiran. Secara fitrahnya kucing memang tidak mempunyai akal, jadi wajarlah apabila tidak dilatih dengan baik, seperti mengajar mereka untuk membuang najis di tempat yang betul, mereka akan membuang najis di tempat yang tidak sepatutnya. Namun sikap sesetengah pemilik kucing yang tidak endah dan tidak ambil peduli kadangkala menjadikan jiran memendam rasa, sehingga ada kucing yang dibuang oleh jiran atau lebih teruk lagi dipukul dan disimbah dengn air panas seperti yang banyak kita dengar dalam portal semasa.

Sebagai pemilik kucing yang bertanggungjawab ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan kucing anda daripada menganggu jiran anda. Pertama sekali melatih kucing untuk membuang najis di kawasan rumah sendiri. Sediakan bekas yang berisi pasir dan ajar kucing untuk membuang di situ. Yang kedua anda boleh membela kucing di dalam sangkar. Letakkan makanan dan minuman secukupnya juga bekas pasir yang besar dan selesa untuk Si Bulu membuang najis mereka. Jika masalah masih tidak selesai, maka sudah sampai masanya anda perlu pertimbangkan untuk membela kucing di dalam rumah atau indoor. Dengan cara ini kucing anda tidak akan berkeliaran dan menganggu ketenteraman jiran-jiran anda. Hubungan anda dengan jiran pun akan lebih terjaga.

Apabila hidup berjiran, kita perlulah saling bertolak ansur dan menjaga hati sesama kita. Sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari akhirat janganlah dia menganggu tetangganya, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam”(HR Bukhari). Oleh itu, pemilik-pemilik kucing perlu lebih cakna dalam penjagaan kebajikan kucing untuk mengelakkan sebarang isu yang boleh mendatangkan keburukan kepada jiran mahupun haiwan peliharaan yang disayangi.

Related Articles

Back to top button