Covid19Semasa

Sarawak benar solat berjemaah rapat saf mulai 1 April

KUCHING : Selaras dengan Fasa Peralihan Endemik di seluruh negara bermula 1 April ini, solat Jumaat, fardu, sunat, khutbah dan wirid selepas solat boleh dilakukan tanpa penjarakan fizikal di semua surau dan masjid di Sarawak.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan hari ini berkata bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) utama yang ditet00apkan masih perlu dipatuhi demi mengekang penularan Covid-19 meskipun diberi kelonggaran.

Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf dan khatam al-Quran juga dibenarkan namun dengan pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal.

“Peraturan penjarakan fizikal perlu dipatuhi dalam ketika penganjuran aktiviti sosial di masjid dan surau. Pengurusan dan pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal,” kata kenyataan itu.

Menurut MIS, orang ramai perlu memastikan pemakaian pelitup muka sepanjang masa, membuat pendaftaran kehadiran melalui MySejahtera sebelum masuk ke dalam masjid serta surau dan digalakkan membawa sejadah atau sejadah sendiri.

“Individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang mempunyai gejala demam, selsema, batuk atau sesak nafas dilarang menghadiri solat dan semua aktiviti lain di masjid dan surau.

“Semua SOP Covid-19 hendaklah dipatuhi seperti ditetapkan oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB),” katanya.

Dalam pada itu, MIS turut memberitahu bahawa jawatankuasa pengurusan masjid dan surau bertanggungjawab menguatkuasakan pelaksanaan SOP yang ditetapkan dan pihak MIS dengan kelulusan JPBN Sarawak boleh mengubah atau meminda SOP itu dari semasa ke semasa mengikut keperluan

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button