SemasaSukan

Sejarah Tercipta: Yeoh Li Tian Dinobat Grandmaster Catur Pertama Malaysia

Buat pertama kalinya dalam sejarah sukan negara, Malaysia melahirkan Grandmaster (GM) catur, apabila Yeoh Li Tian, 25, secara rasmi dianugerahkan gelaran tertinggi dalam dunia catur oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Anak kelahiran Petaling Jaya itu melakar pencapaian bersejarah setelah berjaya meraih norma ketiga dan melepasi paras rating 2500 FIDE, hasil kejayaan menjuarai Kejohanan Jemputan Catur GM-IM 2025 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Dengan pengiktirafan ini, Li Tian kini tergolong dalam kelompok elit kurang daripada 2,000 Grandmaster di seluruh dunia – satu pencapaian yang membawa penghormatan sepanjang hayat dalam arena catur profesional.

“Saya selalu kata bahawa saya tidak ada zaman kanak-kanak – itu mungkin pengorbanan terbesar saya. Sejak kecil, rutin saya hanyalah sekolah, kerja rumah, dan catur,” katanya kepada Bernama selepas kejohanan.

Menurut Li Tian, peluang untuk meraih gelaran GM di tanah air sendiri menjadikan detik ini lebih bermakna, terutama selepas gagal mencapai sasaran tersebut dalam Sukan SEA 2022 di Hanoi.

“Saya sangat lega dan bersyukur kerana norma terakhir ini berjaya saya raih di Malaysia sendiri. Saya harap pencapaian ini dapat membakar semangat lebih ramai pemain tempatan untuk terus maju dalam sukan catur,” tambahnya.

Berkaitan masa depan, Li Tian belum menetapkan hala tuju seterusnya tetapi memberi bayangan besar untuk menyertai Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.

“Persekutuan Catur Malaysia (MCF) sudah pun menghubungi saya mengenai penyertaan ke Sukan SEA. Saya rasa peluang saya untuk bermain kali ini sangat tinggi,” katanya.

Presiden MCF, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, menyifatkan kejayaan Li Tian sebagai satu detik bersejarah dan bukti kemampuan Malaysia dalam sukan catur di peringkat antarabangsa.

“Ini satu pencapaian yang sangat penting buat pembangunan catur negara. MCF kini lebih bersemangat untuk melahirkan lebih ramai Grandmaster tempatan, seiring dengan kejayaan negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina,” ujarnya.

Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sukan catur serantau, tetapi turut membuktikan bahawa usaha gigih dan dedikasi mampu membawa kepada kejayaan di pentas dunia.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button