KAHERAH: Jordan dan Mesir mengetuai perjuangan menentang buruh kanak-kanak di dunia Arab, menurut pakar, menjelang Hari Sedunia Menentang Buruh Kanak-Kanak pada Isnin.
Acara tahunan ini, yang diperkenalkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) pada tahun 2002, mendorong negara-negara di seluruh dunia untuk mengkaji isu hak asasi manusia berkaitan buruh kanak-kanak.
Walaupun peperangan, kemiskinan, dan bencana alam telah menyebabkan masalah ini muncul, dua negara ini sedang membuat kemajuan yang mengagumkan dalam memeranginya.
Menurut The Jurusalem Post, Jordan telah meminda undang-undang buruh kanak-kanaknya pada tahun 2008 dan melaksanakannya dengan tegas dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, Mesir melarang penggunaan buruh kanak-kanak di bawah usia 15 tahun di tempat kerja pada tahun lalu.
“Saya telah bekerja di kedua-dua negara dan boleh menjamin usaha yang telah mereka lakukan,” kata Ben Smith, pakar buruh kanak-kanak di ILO.
“Di Jordan, mereka telah membuat dorongan besar untuk pemeriksaan buruh, yang mementingkan buruh kanak-kanak dan [merupakan] elemen utama tindak balas kerajaan. Ia bukan sekadar penguatkuasaan tetapi merujuk mereka kepada pihak berkuasa,” kata Smith.
Tambahnya lagi, rakyat Jordan telah berusaha keras dalam sistem pemantauan buruh kanak-kanak yang dapat mengarahkan kanak-kanak kepada perkhidmatan yang mereka perlukan seperti pendidikan, kaunseling, dan sebagainya.
“Di Mesir, mereka telah melakukan banyak kerja untuk melihat rantaian bekalan”.
“Mereka telah mengambil langkah penting dan positif, melihat kepada rangka kerja undang-undang dan persediaan institusi untuk bertindak balas terhadap masalah itu,” kata Smith.
Rania Aljawi, Ketua Jaminan Kualiti Perlindungan Kanak-Kanak di organisasi kemanusiaan World Vision International, turut memuji kedua-dua negara itu.