KUALA LUMPUR: Bermula Khamis ini, lebih kurang sejuta orang pekerja peringkat pengurusan dan pengawasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk bekerja dari rumah.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
“Semalam kita mengesan sebanyak sembilan kluster dari tempat kerja di Selangor. Ini berikutan mereka yang berada di kawasan merah terpaksa ke tempat kerja dan mendapat rungutan daripada ramai pihak mengenai kurangnya kawalan, memandangkan kilang-kilang dibuka seperti biasa.”
“Jadi, kita memutuskan pekerja di peringkat pengurusan di sektor awam dan swasta tidak perlu hadir di pejabat.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar harian keselamatan COVID-19, hari ini.
Keputusan itu katanya adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19 di kawasan PKPB.
Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sektor industri yang akan terbabit untuk bekerja di rumah akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, ada kumpulan pekerja yang perlu hadir ke pejabat antaranya mereka yang terbabit dalam urusan kewangan dan pembayaran, penguatkuasaan dan kebajikan,” katanya.
“Mereka yang perlu hadir ke pejabat perlu melakukan ujian saringan yang akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.
Syarikat yang terbabit dengan arahan itu mesti mengeluarkan surat kepada pekerja.
“Tempoh berakhirnya arahan ini sekiranya PKPB berakhirnya. Jika di Selangor PKPB berakhir 27 Oktober ini. Hanya lima hari sahaja mereka terpaksa ‘wfh’ (bekerja dari rumah).
“Sekiranya bersambung dua minggu lagi, maka dua minggu lagi mereka ‘wfh’ dan begitulah seterusnya,” katanya.
Dapatkan berita dan isu-isu semasa berkaitan Ummah dalam dan luar negara secara terus menerusi Channel Rasmi Telegram Ummah Today dengan klik pautan berikut :