NEW DELHI : Kerajaan tempatan India mengumumkan kelas fizikal sekolah-sekolah di ibu negara itu akan terus ditutup bermula Jumaat, lapor Xinhua.
Penutupan sekolah secara fizikal itu akan berlanjutan sehingga krisis kualiti udara diumumkan.
Menteri Alam Sekitar Delhi Gopal Rai, berkata sekolah dibuka semula memandangkan unjuran kualiti udara akan bertambah baik. Namun, ekoran paras pencemaran udara kembali meningkat, pihaknya memutuskan untuk menutup sekolah dari Jumaat sehingga perintah selanjutnya.
Pengumuman Rai itu dibuat sejurus selepas teguran daripada Mahkamah Tinggi India.
Pada Khamis, mahkamah tertinggi itu memberi amaran mengenai tindakan tegas dan memberi tempoh 24 jam kepada kerajaan persekutuan, New Delhi, dan negeri jiran untuk bertindak terhadap pencemaran industri dan kenderaan, yang dianggap sebagai penyumbang utama kepada kemerosotan kualiti udara di ibu negara itu.
Selain itu, mahkamah juga membuat teguran kepada kerajaan Delhi berhubung pembukaan semula sekolah.
“Kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun pergi ke sekolah tetapi orang dewasa bekerja dari rumah,” mahkamah dilaporkan berkata kepada kerajaan Delhi.
Dilaporkan kualiti udara New Delhi merosot secara mendadak bulan lalu selepas perayaan Diwali, berpunca daripada pembakaran mercun.
New Delhi adalah antara bandar yang paling teruk tercemar di dunia.