
Sebuah laporan terbaharu oleh Physicians for Human Rights–Israel mendedahkan sekurang-kurangnya 98 rakyat Palestin telah meninggal dunia ketika berada dalam tahanan Israel sejak bermulanya perang Gaza pada Oktober 2023. Laporan itu, yang diterbitkan berdasarkan dokumen perubatan, laporan bedah siasat, keterangan bekas tahanan dan maklum balas rasmi, menggambarkan pola kematian yang dikaitkan dengan keganasan fizikal, layanan buruk serta pengabaian perubatan yang serius.
Organisasi tersebut menuduh pihak berkuasa penjara Israel menyembunyikan punca sebenar kematian para tahanan dan merahsiakan jumlah keseluruhan mangsa. Penyelaras projek jabatan tahanan organisasi itu, Oneg Ben Dror, berkata dapatan laporan menunjukkan dasar yang disengajakan untuk menyebabkan kematian dalam tahanan, dengan bukti penyeksaan dan kelalaian rawatan yang meluas.
Daripada keseluruhan angka yang didokumenkan, 94 kematian berlaku antara Oktober 2023 hingga Ogos 2025. Empat lagi kematian dicatatkan pada Oktober dan November tahun ini. Selain itu, organisasi itu turut mengenal pasti tujuh lagi rakyat Palestin yang mati ditembak sejurus selepas ditahan, namun angka tersebut tidak dimasukkan dalam jumlah rasmi kerana ia berlaku di luar pusat tahanan.
Laporan itu juga menumpukan kepada gambaran penderaan dan pengabaian perubatan yang berulang. Pemeriksaan terhadap sepuluh laporan bedah siasat menunjukkan hampir separuh daripadanya mempunyai tanda kecederaan seperti hentakan di kepala, pendarahan dalaman dan tulang rusuk patah. Dokumen perubatan lain pula menunjukkan tahanan dibiarkan dalam keadaan kurang zat makanan melampau, tidak diberikan insulin bagi pesakit diabetes, kegagalan merawat kanser, serta jangkitan serius yang tidak dirawat.
Kumpulan hak asasi itu menegaskan keadaan tahanan selari dengan laporan dua tahun kebelakangan ini yang mendokumenkan kelaparan, dehidrasi, serta pendedahan berpanjangan kepada cuaca ekstrem dalam pusat tahanan Israel. Laporan berkenaan turut menerangkan cara pihak berkuasa Israel didakwa menyembunyikan punca kematian, termasuk melengahkan pemberitahuan kepada keluarga dan menghadkan akses kepada maklumat perubatan.
Persatuan Tahanan Palestin menyatakan jumlah sebenar kematian mungkin melebihi 100 orang. Ketua persatuan itu, Abdullah al-Zagari, berkata angka terkini menunjukkan skala jenayah yang berterusan terhadap tahanan Palestin yang kini berdepan satu lagi bentuk pemusnahan.
Serangan Israel terhadap Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 69,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain mencederakan lebih 170,000 orang. Ribuan rakyat Palestin turut ditahan sepanjang tempoh tersebut. Serangan itu kini terhenti di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Sumber: AA







