DomestikSemasa

Selain Tawaran Melalui UPU, UM Turut Buat Pengambilan Bersyarat – Naib Canselor

Universiti Malaya (UM) melaksanakan kemasukan pelajar baharu melalui dua kaedah iaitu saringan Unit Pusat Universiti (UPU) dan pengambilan terus secara bersyarat oleh pihak universiti, kata Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Beliau berkata, tawaran terus secara bersyarat dikeluarkan selepas tamat tempoh rayuan dan proses saringan dijalankan menggunakan sistem ranking sama seperti UPU, dengan anggaran antara 20 hingga 50 tempat disediakan.

“Kita ada saluran terbuka atau conditional offer untuk 30 hingga 50 orang calon yang telah memenuhi syarat. Mereka akan diranking semula selepas tarikh rayuan dan surat tawaran hanya akan dikeluarkan selepas proses itu selesai,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas aduan seorang pelajar STPM yang mendakwa tidak mendapat tempat dalam program perakaunan UM walaupun memperoleh PNGK 4.00 dan merit keseluruhan 99.90 peratus.

Noor Azuan menegaskan, jumlah 85 tempat yang diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman bagi program berkenaan adalah tepat, meliputi calon lepasan STPM, matrikulasi, asasi dan diploma, manakala 28 lagi tempat disediakan untuk pelajar feeder UM.

Menurutnya, sistem pengambilan melalui UPU kekal relevan kerana berasaskan dasar meritokrasi dengan mengambil kira pelbagai aspek akademik dan kokurikulum.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button