BanjirSemasa

160 rumah terjejas, banjir Yan berulang

YAN : Hujan lebat di sekitar Gunung Jerai sejak petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan ditenggalami air malam ini.

Hujan lebat itu sekaligus menjadikan fenomena kepala air berulang sekali lagi.

Menurut laporan penduduk tempatan yang dikenali sebagai Yani, hujan lebat mengakibatkan kerosakan di beberapa kawasan termasuk rumah, kemudahan awam dan sekolah.

“Banyak rumah kampung sudah dinaiki air. Jalan di hadapan sekolah pun banyak yang dah banjir.” katanya ketika ditemu bual Ummah Today.

Yani yang juga Pengusaha Pusat Peranginan di Yan berkata, keadaan di Pekan Yan juga sudah dinaiki air dan masih belum surut ketika ini disebabkan hujan lebat.

Berdasarkan perkongsian rakaman video daripada Yani, kelihatan air deras memasuki kawasan dalam rumah sehingga menghanyutkan beberapa barangan rumah.

Sementara itu, antara kawasan terjejas meliputi perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar, selain pekan Yan yang turut dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 0.7 meter.

Merujuk laporan Berita Harian, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung banjir kilat di daerah Yan jam 6.30 petang.

Dilaporkan sebanyak 60 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir di daerah itu antaranya Kampung Perigi, Kampung Raga, Titi Bakong, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan dan Pulau Chengai Mukim Yan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rumah yang terjejas akibat kejadian banjir kilat di daerah Yan adalah sebanyak 160 rumah.

Dijangka air pasang akan melanda ekoran hujan lebat.

Orang ramai dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan kekal berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button